Tampar Jururawat Selepas Berang Ditegur Tidak Pakai Penutup Hidung Dan Mulut

Lelaki yang ditahan kerana menampar dan mengugut jururawat.

INDONESIA: Berang ditegur tidak memakai penutup mulut dan hidung, seorang lelaki di Jawa Tengah menampar jururawat.

Selain itu, lelaki berusia 43 tahun itu juga membuat ugutan bunuh terhadap mangsa.

Bagaimanapun, tindakannya hanya mengundang padah apabila dia ditahan polis susulan laporan yang dibuat jururawat berkenaan.

Portal Kompas melaporkan kejadian berlaku di Klinik Pratama Dwi Puspita ketika lelaki terbabit membawa anaknya bagi mendapatkan rawatan.

Ketika membuat pendaftaran, seorang jururawat berusia 30 tahun mengingatkan lelaki itu supaya memakai penutup mulut dan hidung.

Jururawat itu menjelaskan semua pesakit dan keluarga mereka harus memakai alat perlindungan itu bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Malah, jururawat itu juga memberitahu doktor tidak melayan pesakit mahupun keluarganya yang tidak memakai penutup mulut dan hidung.

Ia menyebabkan lelaki itu marah lalu menampar jururawat berkenaan.

“Selepas menampar saya, dia mengancam dengan berkata ‘jaga kalau jumpa di jalan dia mahu bunuh atau penggal kepala saya’,” kata jururawat itu.

Kes itu kini dalam siasatan pihak berkuasa. – Agensi

3228