COVID-19: Majlis Daerah Penampang Lakukan Sanitasi Di Plaza 333

Majlis Daerah Penampang melakukan kerja-kerja semburan sanitasi di sekitar pusat komersial, Plaza 333.

KOTA KINABALU, 13 April: Majlis Daerah Penampang hari ini melakukan kerja-kerja semburan sanitasi di sekitar pusat komersial, Plaza 333 bagi mengekang penularan COVID-19. 

Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang Tang Yang Ming berkata, langkah itu merupakan kesinambungan operasi pembersihan dan pembasmian kuman berikutan penambahan kes positif COVID-19 di sekitar kawasan berkenaan. 

“Anggota kita turun padang hari ini untuk menyembur tempat yang tidak dapat dimasuki oleh kenderaan seperti kawasan longkang di lorong-lorong belakang bangunan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu, dekat sini hari ini. 

Beliau berkata 25 orang telah digerakkan bagi melaksanakan kerja-kerja disinfeksi dan pembasmi kuman, dengan fokus utama ketika ini adalah di kawasan tumpuan orang ramai.selain kawasan pasar harian seperti pasar am dan pasar ikan yang akan disinfeksi setiap hari.

“Usaha pembersihan kuman di setiap pusat komersial khususnya tempat tumpuan orang awam  akan diteruskan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu tamat,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *