Simpanan Lesap Selepas Isi Maklumat Di Laman Web Palsu BNM

KUANTAN: Seorang perunding sebuah hospital di sini hilang RM63,465 daripada akaun simpanannya selepas berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik Bank Negara Malaysia (BNM), menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 60 tahun itu mendakwa dia hanya menyedari kehilangan wang itu semalam, iaitu dua hari selepas berurusan dengan tiga lelaki kononnya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Katanya, lelaki itu dalam laporan polis dibuatnya menyatakan dia dihubungi suspek pertama pada Sabtu lalu, yang memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM Putrajaya bagi menyiasat kegagalannya membayar cukai pendapatan sebuah syarikat perabot yang kononnya didaftarkan atas nama mangsa.

“Mangsa menegaskan dia tidak pernah membuka syarikat yang dikatakan beralamat di Perak menyebabkan suspek pertama memindahkan talian kepada suspek kedua yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat sarjan.

“Suspek kedua mendakwa nama mangsa dikaitkan dengan kes dadah yang kononnya siasatan dilakukan oleh pegawai polis bergelar Datuk, menyebabkan talian disambungkan kepada suspek ketiga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa yang mendakwa keliru dengan dakwaan tersebut telah dinasihatkan oleh ‘Datuk’ itu untuk membuka pautan ke laman web yang dikatakan milik BNM dan mengisi maklumat seperti diminta kononnya bagi tujuan siasatan.

Katanya, menurut mangsa, dia telah memasukkan semua maklumat peribadi berkaitan dua akaun banknya dan hanya membuat semakan baki secara dalam talian petang semalam, yang ‘mendedahkan’ beberapa transaksi pemindahan wang yang tidak dilakukannya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

1201