COVID-19 Merebak Ke Semua 34 Wilayah Di Indonesia

Pusat bandar Jakarta lengang selepas perintah berkurung dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19. – Foto AFP

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan, semua 34 wilayah di republik itu kini merekodkan penularan COVID-19 dengan wilayah Gorontalo mengesahkan kes pertama semalam.

Ketua Pengarah Kawalan Penyakit dan Pencegahan kementerian itu, Achmad Yurianto, berkata Indonesia merekodkan 219 kes coronavirus baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,512 kes di 34 wilayah.

“Kadar kematian pula meningkat sebanyak 26 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 306 terkorban setakat ini manakala 30 pesakit lagi berjaya disembuhkan, menjadikan jumlah keseluruhan 282 orang sudah sembuh.

“Memandangkan penyakit ini sudah merebak ke seluruh Indonesia, maka ketua wilayah diminta mengemukakan permohonan ‘penjarakan sosial kala besar’ (PPSB) kepada Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan memberi peluang ini kepada semua badan pentadbiran wilayah memohon PSBB mengikut prosedur sedia ada,” katanya.

Jakarta, yang menjadi pusat penularan wabak coronavirus di Indonesia, menjadi satu-satunya wilayah yang sudah melaksanakan PSBB selepas diluluskan Kementerian Kesihatan dan dikuat kuasa bermula semalam hingga 23 April ini.

Yurianto juga menggesa semua penduduk Jakarta supaya jangan keluar rumah dan patuhi peraturan PSBB. – Agensi

1090