Satu Tahun Curi Air Salur Ke Koloni Setinggan

Asabri Robenson (kiri) menunjukkan sambungan haram di kawasan setinggan Kampung Sri Aman, Batu 4 Jalan Apas, Tawau. Gambar Ihsan JANS

TAWAU: Setahun mencuri air dengan membuat sambungan paip haram tanpa melalui meter.

Itu taktik licik pihak tidak bertanggungjawab di kawasan setinggan Kampung Sri Aman, Batu 4 Jalan Apas di Tawau.

Bagaimanapun, perbuatan itu akhirnya dikesan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sebelum operasi pemotongan dijalankan 11.30 pagi, hari ini.

Gambar Ihsan JANS

Jurutera (JANS) Bahagian Tawau, Asabri Robenson berkata, pada awalnya, pihaknya menerima aduan paip air pecah yang disertakan gambar dan rakaman video di kawasan berkenaan semalam.

Bagaimanapun katanya, setelah siasatan dijalankan bersama pihak kontraktor di kawasan terbabit, didapati air yang keluar adalah daripada sambungan haram tanpa meter yang disambung secara terus ke paip bersaiz 225 milimeter (mm).

“Kami mengesan lapan sambungan haram. Ia dilakukan individu atau pihak tidak bertanggungjawab untuk disambungkan terus ke koloni setinggan dan kawasan berhampiran,” katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, operasi pemotongan sambungan haram di kawasan berkenaan merupakan kali ketiga membabitkan kegiatan mencuri air daripada sumber air terawat dibekalkan JANS.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 49 (b) dan Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003, sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara dua tahun,” katanya. – Harian Metro

3510