LABUAN, 23 Mac: Perkhidmatan pengangkutan laut – feri penumpang dan bot laju ke tanah besar Sabah dan Sarawak dari Labuan dihentikan mulai hari ini (23 – 31 Mac) sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penumpang yang merancang untuk ke Kota Kinabalu, Menumbok dan Sipitang, Sabah serta Limbang dan Lawas, Sarawak melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan diingatkan agar mengikut pelayaran feri kenderaan (Feri Ro-Ro).
Jadual pelayaran feri kenderaan juga dikurangkan kepada satu trip untuk empat feri yang beroperasi dari Labuan – Menumbok – Labuan berbanding tiga trip sebelum ini.
Arahan terbaru ini dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia Labuan (Marine Department Labuan) kepada pengusaha feri Jutabonus Development Sdn Bhd yang mengendalikan Feri Galaxy dan Labuan Mainland Link Sdn Bhd dengan tiga ferinya – Kimanis 1, Putrajaya 1 dan Goodwill Star.
Pengarahnya Benjamin Bernard Bijion memberitahu penjadualan pergerakan feri dan penghentian perkhidmatan pengangkutan laut penumpang adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 hingga 31 Mac bagi mengekang rangkaian penularan wabak COVID-19.
Jadual yang diberikan adalah seperti berikut; feri Putrajaya Labuan – Menumbok pada jam 6 pagi dan dari Menumbok – Labuan pada jam 9 pagi, Kimanis 1 (Labuan – Menumbok [3 petang] dan Menumbok – Labuan [1 petang]), Goodwill Star (Labuan – Menumbok [5.3p petang] dan Menumbok – Labuan [8 malam] dan feri Galaxy mendapat jadual pelayaran dari Labuan – Menumbok [Isnin – Sabtu] pada jam 6.30 petang dan dari Menumbok – Labuan pada jam 6 pagi.
Feri Galaxy menerima kelulusan pelayaran pada 29 Mac (Ahad) Labuan – Menumbok pada jam 5.30 petang dan dari Menumbok – Labuan pada jam 4 petang.
Benjamin berkata arahan penjadualan pelayaran ini telah dibincangkan dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah dan LDA Holding.
“Kesemua operator feri dikehendaki mengkut jadual pelayaran baharu ini bermula esok (24 Mac),” katanya.