COVID-19: 11 Kes Baharu Di Sabah Hari Ini, Keseluruhan 169 Kes

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 11 kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri adalah sebanyak 169 kes.

Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon menerusi akaun Facebooknya memaklumkan, kes di negeri ini bertambah daripada 158 kes semalam kepada 169 kes setakat ini.

Beliau berkata, daerah Tawau kekal mencatatkan pertambahan kes tertinggi dengan lapan kes baru, dengan keseluruhan 48 kes di Tawau.

Sementara Lahad Datu 34 kes (+1), diikuti dengan Kota Kinabalu dengan 24 kes (+2).

Tiga daerah berkenaan sahaja melaporkan pertambahan kes. Manakala, daerah-daerah lain kekal tiada kes baharu dilaporkan untuk hari ini.

Sehingga kini, daerah Tuaran melaporkan 12 kes; Kinabatangan dan Sandakan mempunyai 11 kes; enam kes di Beaufort;  lima kes masing-masing di Kota Belud dan Kunak.

Manakala, empat kes masing-masing di Sipitang dan Putatan; dua kes di Papar dan Ranau serta satu kes di Semporna.

Sehingga kini, KKM melaporkan 14 kematian di seluruh Malaysia termasuk empat kes kematian terbaru hari ini.

Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 212 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 1,518 kes termasuk 159 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Daripada 212 kes baharu itu, 123 adalah daripada kluster perhimpunan tabligh. Sebanyak 57 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 27 kes memerlukan alat bantuan pernafasan. – BorneoToday

3566