Kawalan Pergerakan Di Tawau, Lahad Datu, Kota Kinabalu Bertambah Ketat

Selain SJR, pasukan polis IPD Penampang turut menjalankan rondaan ke tempat-tempat popular yang lazimnya menjadi tumpuan orang ramai seperti di kawasan pusat hiburan.

PENAMPANG: Mulai sekarang kawalan pergerakan penduduk di tiga daerah yang merekodkan bilangan kes penghidap positif COVID-19 tertinggi bertambah ketat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, arahan itu berkuat kuasa serta merta dan sudah disampaikan kepada ketua polis daerah di Tawau, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

“Saya sudah arahkan (pasukan polis) di ketiga-tiga daerah ini untuk melipatgandakan kawalan dan penguatkuasaan di jalan raya, sama-sama kita tengok kesannya nanti.

“Semua pihak perlu mainkan peranan, media juga sangat penting, begitu juga penduduk,” katanya pada sidang media semasa meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) IPD Penampang dan meronda di sekitar kawasan premis pusat hiburan, di sini, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Zaini berkata seramai 466 tentera daripada 800 anggota yang dijanjikan membantu polis mengawal pergerakan penduduk kini sudah ditempatkan di 17 daerah.

Sekalipun terdapat tiga lagi daerah di Sabah yang belum menerima bantuan tentera, namun beliau percaya baki anggota tentera lain akan melapor diri dalam masa terdekat.

“Kita amat mengalu-alukan bantuan tentera untuk polis khususnya sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berjalan,” katanya.

Menyentuh keberkesanan SJR yang dijalankan pula, beliau memuji tahap pematuhan penguatkuasaan PKP yang cukup tinggi penduduk di negeri ini untuk tidak keluar rumah.

Menurutnya, peratus pematuhan mencapai lebih 90 peratus di semua kawasan dan beliau optimis jika penduduk mengamalkan budaya berkongsi kereta, peratusan itu boleh ditingkatkan.

“Setakat yang saya lihat dan tanya sendiri dengan pengguna jalan semasa SJR berlangsung, mereka keluar rumah kerana hendak mengambil isteri di hospital,” katanya.

Untuk rekod, sehingga Ahad 158 kes positif COVID-19 dikesan di Sabah dengan tiga daerah iaitu Tawau (40), Lahad Datu (33) dan Kota Kinabalu (22) mencatat kes tertinggi.

SumbeR: Utusan Borneo