BANYUWANGI – Tiga sekeluarga maut setelah mengalami pening kepala, sesak nafas dan muntah dipercayai selepas menjamu ikan buntal di Banyuwangi, Wilayah Jawa Timur Indonesia.
Muhlis Hartono, 65; isterinya, Dewi Ambarwati, 50, dan ibu kepada Dewi, Siti Habsah, 80, maut selepas menjamah ikan buntal hasil pancingan menantunya, Muhlis, lapor Kompas.
Ketua Polis Banyuwangi, Kombes Arman Asmara Syarifudin berkata, pasangan suami isteri itu meninggalkan seorang anak yang masih kecil kini di bawah jagaan saudaranya.
“Ketiga mereka menjamah masakan tersebut yang dimasak oleh Dewi. Mereka mengalami muntah dan pening kepala.
“Mereka telah dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia kerana keracunan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya kini melakukan ujian kimia untuk mengetahui kandungan yang terdapat pada masakan dan ikan buntal tersebut.