Covid-19: Pelawat Tak Dibenar Di Hospital Tawau

Hospital Tawau

TAWAU: Hospital Tawau tidak membenarkan mana-mana pelawat pesakit di wad hospital itu sebagai langkah pencegahan selain mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Timbalan Pengarahnya, Dr Azman Ibrahim berkata, bermula semalam, pihaknya hanya membenarkan penjaga (care taker) untuk melawat pesakit.

“Wad isolasi di tingkat tiga adalah kawasan paling terhad (ristricted) dan kita pun sedia maklum ada satu kes pesakit yang positif wabak ini yang kini ditempatkan di bilik isolasi di wad berkenaan.

“Kemungkinan, ini akan mengambil masa sedikit sehingga keadaan benar-benar terkawal untuk kita membenarkan pelawat melawat pesakit,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persediaan HBT merawat pesakit Covid-19, beliau menjelaskan, beberapa wad khas disediakan yang mampu menampung sehingga 60 pesakit, dalam satu-satu masa.

“Di wad ini juga, kita ada dua bilik khas (negative pressure) selain tambahan 20 katil yang akan digunakan untuk menempatkan pesakit yang masih dalam peringkat siasatan,” jelasnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam, mengesahkan seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun dari Tawau disahkan sebagai individu pertama positif Covid-19 di Sabah.

Lelaki itu antara 350 jemaah tabligh dari Tawau yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Selangor, antara 28 Februari dan 1 Mac lalu. – Harian Metro