Jangan Lakukan Pembelian Panik, Keadaan Di Tawau Terkawal – Christina

TAWAU: Masyarakat di daerah ini disaran agar jangan panik dan risau sehingga melakukan pembelian panik barang-barangan keperluan dapur berikutan laporan tentang penularan wabak Covid-19 yang telah menular ke Tawau.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar ini berkata, setakat ini keadaan masih terkawal dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan telah dilakukan oleh pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Beliau mengeluarkan kenyataan ini berikutan maklumat dan perkembangan terkini dimana, pihak JKNS dan hospital telah mengaktifkan “Fever Centre” di Hospital Besar Tawau.

Mengenai 350 peserta dari Tawau yang menyertai perjumpaan keagamaan di Petaling Jaya baru-baru ini, Christina berkata, difahamkan sebilangan besar daripada mereka telah melakukan proses pemeriksaan dan saringan kesihatan setakat ini. Manakala, selebihnya sedang dikesan oleh JKNS.

Biarpun peserta didapati positif terkena jangkitan Covid-19, langkah kuarantin serta merta telah diambil oleh pihak Hospital Besar Tawau.

Beliau juga memuji tindakan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ir Amrullah yang telah menunda program Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 21 Mac ini.

Katanya, langkah itu satu tindakan yang bijak dan berhati-hati agar wabak ini tidak menular kepada penduduk Tawau.

Beliau juga meminta kerjasama masyarakat di Tawau agar tidak menyebarkan maklumat-maklumat palsu menerusi media sosial yang boleh mengakibatkan keadaan panik.

Beliau menyarankan masyarakat Tawau agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti di luar  dan sentiasa memakai topeng penutup hidung & mulut ketika berada di kawasan umum; menggunakan ‘hand sanitizer’ dan sentiasa membasuh tangan dengan sabun.

Beliau juga tidak menggalakkan masyarakat di daerah ini untuk bersalaman buat sementara waktu ketika menghadiri program yang dikunjungi orang ramai.

Sebaliknya, orang ramai boleh meletakkan tangan pada dada dan tunduk sebagai tanda hormat seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – BorneoToday

1913