Isi Borang Kekal Caruman 11 Peratus KWSP

KUALA LUMPUR: Pekerja yang mahu kekalkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 11 peratus seperti sebelum ini tetap perlu mengisi borang yang disediakan.

Ini kerana berdasarkan Akta KWSP 1991, tiada peruntukan yang membenarkan ahli untuk membuat pilihan menurunkan kadar caruman syer pekerja yang telah ditetapkan.

Malah, ia perlu dilakukan secara sukarela dan bukan secara ‘default’.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, pihaknya memahami kebimbangan ahli berkenaan simpanan persaraan mereka dan akan terus berusaha mengkaji cara untuk menyelesaikan isu ini.

“Memandangkan tempoh pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja yang singkat, kami berharap pilihan untuk meningkatkan kadar caruman ini, dapat mengurangkan kerisauan ahli.

“Kami amat menghargai kesabaran ahli dalam hal ini dan akan berusaha untuk memastikan bahawa ahli KWSP dan majikan maklum akan hak mereka,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Berdasarkan pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan baru-baru ini, kerajaan membenarkan pengurangan caruman daripada syer pekerja kepada tujuh peratus, berbanding 11 peratus sebelum ini.

Ia akan berkuatkuasa mulai upah pekerja bulan April 2020 bagi caruman Mei 2020 dan akan dilaksanakan sehingga upah pekerja bulan Disember 2020 bagi caruman Januari 2021.

Menurutnya, untuk kemudahan ahli, KWSP telah menyediakan Borang KWSP 17A (Khas 2020) bagi membolehkan ahli memilih untuk mengekalkan kadar caruman syer pekerja kepada 11 peratus dan ia boleh dimuat turun dari laman sesawang KWSP.

2976