PGA Sandakan Tahan Lelaki Tempatan Miliki Minuman Keras Bernilai RM250,350

Minuman seludup yang dirampas dalam serbuan berkenaan. Gambar Ihsan PGA

SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan terdiam selepas dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di stor simpanan minuman keras seludup miliknya di Jalan Labuk, Batu 9, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi, suspek, 36 tahun itu, diberkas bersama minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM250,350.

Pegawai Memerintah, PGA Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, hasil risikan, pihaknya mengesan stor itu yang dijadikan lokasi simpanan dan jualan minuman keras tidak bercukai.

Menurutnya, sepasukan anggota Tiger Platoon diketuai Inspektor Olever Nordin bersama Sarjan Majang Anak Entawan dan Sarjan Salang Anak Kasau dihantar ke lokasi terbabit.

“Sebaik tiba, seorang lelaki ditemui di stor terbabit lalu anggota bertugas memperkenalkan diri sebagai polis dan melakukan pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan berjaya menemui 4,200 tin dan 164 botol minuman keras tidak bercukai disyaki diseludup dalam stor berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati, stor itu disewa suspek untuk dijadikan tempat simpanan dan jualan minuman keras seludup,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mohd berkata, lelaki itu turut mengakui menjual minuman keras seludup.

“Suspek ditangkap dan minuman keras serta sebuah van bernilai RM250,350 dirampas.

“Ia dihantar ke Balai Polis Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sumber: Harian Metro