COVID-19: KKM Jejaki 5,000 Jemaah Tabligh Masjid Sri Petaling

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengesan lebih 5,000 ahli jemaah tabligh Malaysia yang terlibat dengan perhimpunan itu di Masjid Sri Petaling, di sini pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, usaha itu dilakukan susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei yang mengesan satu kes positif COVID-19 dikesan ada kaitan dengan perhimpunan tersebut.

Menurut Noor Hisham, dianggarkan lebih 10,000 orang terlibat dalam perhimpunan tersebut membabitkan ahli jemaah dari pelbagai negara.

Daripada jumlah tersebut, difahamkan lebih separuh terdiri daripada jemaah Malaysia.

“Kes berkenaan dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini membabitkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, KKM kata beliau, telah mengarahkan semua Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu di negeri masing-masing.

Kementerian Kesihatan Brunei sebelum ini mengesahkan bahawa kes pertama membabitkan COVID-19 di negara itu pada 9 Mac lalu.

Individu tersebut dipercayai telah menghadiri satu majlis keagamaan yang dianjurkan di Malaysia. – Awani

4872