#TERKINI, 350 INDIVIDU HADIRI PERJUMPAAN KEAGAMAAN DI MASJID JAMEK SERI PETALING 29 FEBRUARI HINGGA 5 MAC DIMINTA HUBUNGI PEJABAT KESIHATAN TAWAU UNTUK DIKUARANTIN
TAWAU; 11 MARCH 2020 (Rabu) – Susulan seorang lelaki warga Brunei disahkan positif COVID-19 setelah kembali ke negara itu pada 3 MAC dari Kuala Lumpur, kira-kira 350-individu dari Tawau yang menghadiri perjumpaan Keagamaan (Usaha Dakwah) di Masjid Jamek Seri Petaling pada 29 Februari hingga 5 Mac lepas diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Tawau.
Pegawai Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran yang dihubungi pemberita RTM berkata, sekiranya terdapat dalam kalangan mereka yang telah pulang dari Kuala Lumpur mengalami gejala-gejala COVID-19 antaranya demam, batuk, sakit dada dan selsema, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan dan saringan COVID-19 segera di Klinik kerajaan berhampiran.
Beliau berkata, bagi mereka yang tidak mengalami sebarang gejala COVID-19, mereka perlu menghubungi Pegawai Kesihatan Persekitaran Kawasan Tawau, Rahman Sampe di talian 016-472 9314 agar pihak Klinik Kesihatan menghubungi semula untuk mendatangi mereka bagi mendapatkan data selain memberikan borang arahan Kuarantin.
Menurutnya, mereka akan di kuarantin dirumah masing-masing ‘Home Assesment’ dan dipantau selama tempoh 14 hari sehingga satu masa dibenarkan keluar dari rumah.
Mengulas lanjut berhubung satu notis yang dikeluarkan Klinik Kesihatan Tawau yang tular sejak petang tadi berhubung 350-individu yang kini dikesan menghadiri Perjumpaan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Dr. G Navindran berkata, berlaku salah faham terhadap notis berkenaan dan notis terbabit hanya ditujukan kepada mereka yang mengalami gejala COVID-19.
Jelasnya, mereka yang tidak mengahdapi sebarang gejala wabak itu tidak perlu datang ke Klinik Kesihatan sebaliknya menghubungi Pegawai Kesihatan Tawau.
Sementara itu, tinjauan RTM di Pejabat Kesihatan Tawau mendapati, sebaik notis yang dikeluarkan itu tular, ramai individu yang pernah menghadiri perjumpaan di Kuala Lumpur hadir bersama keluarga untuk membuat pemeriksaan lanjut.
Dalam pada itu, terdapat seorang lelaki berumur 58 tahun kini dikuarantin di Hospital Tawau dan disyaki kontak kes di Brunei.
#BESTAWAUfm