UMNO Sabah Atur Strategi: Bung Moktar

Bung Moktar

KOTA KINABALU: Ekoran perkembangan politik di peringkat Persekutuan telah berubah dan pendirian kerajaan Warisan di Sabah yang tidak menyertai gabungan kerajaan baharu (Perikatan Nasional) UMNO Sabah siap sedia menyusun strategi bagi menghadapi keadaan, agar rakyat Sabah tidak terpinggir dari arus pembangunan, ekonomi dan politik.

Ketuanya Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata, keputusan kerajaan Warisan ini akan membawa kerugian besar kepada rakyat Sabah, oleh itu penjelasan kepada rakyat Sabah perlu dilakukan agar mereka memahami keadaan politik semasa.

“Kita akan turun padang menjelaskan kepada rakyat tentang perkembangan isu isu semasa kerana rakyat Sabah berhak mengetuai keadaan yang sebenarnya khususnya perkembangan politik tanah air,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Sehubungan dengan itu Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berharap rakyat Sabah khususnya ahli-ahli UMNO dan BN bertenang dan bersabar bagi memberikan ruang kepada kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyusun jentera pentadbirannya.

“Kita seharusnya bersyukur kerana kemelut kerajaan Persekutuan dapat ditangani, keutamaan kerajaan baharu adalah rakyat menggantikan kerajaan PH yang lemah dan gagal membela rakyat yang akhirnya ditumbangkan sendiri oleh mereka,” jelasnya.

Bung mengulangi adalah menjadi satu kerugian besar kepada rakyat Sabah jika kerajaan Warisan tidak bersama kerajaan Persekutuan yang tempias kesannya kepada rakyat dari segi pembangunan dan ekonomi.

“Kerajaan negeri sudah tentu tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk membangunkan Sabah yang masih dahagakan pembangunan, contoh sudah jelas apabila kerajaan negeri tidak sehaluan dengan kerajaan Pusat segala peruntukan pembangunan tidak akan berjalan lancar dan kesannya adalah kepada rakyat,” katanya. – Utusan Borneo

5755