PKR Sabah Teguh Bersama Shafie

PKR SABAH TEGUH BERSAMA SHAFIE, NAFI LAPORAN FMT

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah sentiasa berdiri teguh di belakang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk terus mentadbir negeri ini dan meneruskan agenda pembangunan rakyat yang telah dirancang.

Sehubungan itu, PKR Sabah menafikan ada mana-mana pemimpin daripada parti itu yang meragui kepimpinan Mohd. Shafie, malah PKR merupakan sebahagian daripada Kerajaan Sabah yang telah dibentuk.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, PKR Sabah berkata, laporan portal berita Free Malaysia Today bahawa ada pemimpin parti itu yang berpandangan seperti dilaporkan bukanlah pendapat atau pendirian PKR Sabah.

“Satu kenyataan yang dinyatakan di bawah bukanlah satu kenyataan PKR Sabah.

“Kenyataan media di bawah yang menyatakan bahawa seorang pemimpin PKR Sabah menyuarakan pandangan tersebut dan tidak diketahui atau dinyatakan nama pimpinan tersebut, sama sekali bukan pandangan atau pendirian PKR Sabah,” kata parti itu.

Free Malaysia Today semalam melaporkan berita bertajuk ‘Question marks over fate of Sabah’s Warisan government’ mempersoalkan kedudukan Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah berikutan pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan.

Portal tersebut menyatakan beberapa pemimpin PKR Sabah meragui kedudukan Warisan di dalam Pakatan Harapan (PH), namun tidak menyatakan nama pemimpin tersebut.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Junior menegaskan Kerajaan Sabah tidak berubah dan masih teguh dibawa pimpinan Mohd. Shafie.

Sumber: BorneoToday