Jangan Beri Kontrak Kepada Ahli Keluarga – SPRM Sabah

S Karunanithy

SANDAKAN: Warga pendidik, khususnya guru besar dan pengetua sekolah, harus memberi perhatian serius terhadap kesalahan penyalahgunaan kuasa, terutamanya dalam pemberian kontrak sekolah kepada ahli keluarga.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah S Karunanithy, berkata tindakan memberi kontrak kepada ahli keluarga merupakan kesalahan serius membabitkan guru besar atau pengetua.

“SPRM sering menerima banyak aduan mengenai kesalahan ini, walaupun sudah jelas bahawa guru besar dan pengetua tidak boleh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan, termasuk memberi kontrak kepada syarikat ahli keluarga.

“Tahun ini sahaja ada enam kes di Sabah yang dituduh di mahkamah dan SPRM sentiasa mengadakan program kesedaran supaya perkara ini tidak lagi berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pada Program Bicara Awal Tahun Pengarah Pendidikan Sabah bagi Zon Sandakan di sini hari ini.

Karunanithy turut menasihatkan guru besar dan pengetua supaya mengeluarkan nama syarikat ahli keluarga yang tersenarai untuk pertimbangan mendapatkan kontrak di sekolah masing-masing.

Katanya lagi, syarikat yang guru besar atau pengetua mempunyai kepentingan perlu dicatatkan dalam minit mesyuarat proses pemberian kontrak sebagai syarikat yang sudah dikeluarkan daripada senarai pemohon kontrak.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin, berkata program berkenaan diadakan setiap awal tahun bagi berkongsi maklumat pengurusan sekolah dan sering menjemput pegawai SPRM untuk memberi taklimat.

“Kami (Jabatan Pendidikan Sabah) bukan sahaja mahu menjadikan pendidikan itu telus kepada murid, tetapi juga mahu mendidik guru, guru besar dan pengetua serta pegawai pendidikan daerah supaya kesalahan membabitkan guru tidak lagi berulang…tidak mahu kes baharu,” katanya. – BERNAMA