KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akbarkhan meminta semua ahli BERSATU kekal positif dan bertenang supaya kesepakatan dapat diteruskan tanpa diselitkan unsur negatif yang mampu memecah-belahkan parti.
“Kita minta semuanya bertenang dan jangan melakukan apa-apa tindakan yang akhirnya hanya akan mengeruh dan memburukkan lagi keadaan.
“Kita yakin bahawa Presiden parti cukup bijak dan mahir untuk membuat keputusan serta memikirkan langkah apa yang wajar diambil kelak demi kebaikan BERSATU,” katanya.
Firdaus dalam satu kenyataan hari ini, turut menggesa agar ahli parti tidak berfikir bukan-bukan dan membuat sangkaan sendiri mengenai apa yang sudah berlaku.
“Langkah terbaik untuk kita adalah terus kekal sebagai ahli yang menyokong perjuangan teras parti sekaligus tidak berpecah kerana perpecahan hanya akan membawa masalah yang lebih buruk di kemudian hari.
“Perjuangan parti yang dibawa oleh atasan parti akan terus kita sokong sepenuhnya,” katanya.
Beliau meminta semua ahli parti terus melaksanakan peranan masing-masing dalam memastikan BERSATU menjadi parti pilihan rakyat.
Katanya, sudah tiba masa BERSATU berperanan penting dalam memastikan agenda pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan.
Hari ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pagi tadi.- Berita Harian