Polis KK Gempur Sarang Dadah, 71 Ditahan & Dadah Bernilai RM425,544 Dirampas

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terus mempergiat operasi mengempur sarang dadah sekitar daerah ini dengan menangkap 71 orang individu termasuk remaja 16 tahun.

Tangkapan yang dibuat dalam operasi Op Ice Breaker itu dilakukan di tiga lokasi berasingan sekitar Kampung (Kg) Warisan, Kg Air dan Kg Bakau sepanjang tempoh seminggu bermula pada 22 Feb hingga 28 Feb lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan itu membabitkan 61 warga tempatan dan 10 warga asing yang berumur antara 16 hingga 61 tahun.

Beliau berkata, polis juga berjaya merampas sebanyak 1.64 kg syabu, 2.66 kg ketamin, 1.02kg pil ekstasi dan 306 gram pil eramin yang dianggarkan bernilai RM425,544 dalam serbuan yang dilakukan.

“Hasil daripada serbuan itu, polis berjaya menangkap dua pengedar dadah yang ditahan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala, 15 individu yang memiliki dadah ditahan mengikut Seksyen 12(2) dan 54 individu lain yang disahkan positif dadah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Habibi berkata, pihaknya akan terus membanteras dan memperhebatkan operasi menangani pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah ini dari masa ke semasa.

Oleh itu, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat ke talian hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088 529220 atau ke Facebook page Polis Daerah Kota Kinabalu.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *