Peralihan Kuasa Perdana Menteri, Shafie Belum Mahu Ulas?

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menolak untuk ditemuramah media semasa ditemui di Stadium Likas, di sini, tengah malam tadi.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu sekadar tersenyum kepada pihak media selepas mengiringi keberangkatan pulang Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Sekaligus hasrat media mendapatkan ulasannya mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak kesampaian.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin berkenaan menghadiri Persembahan Tatu anjuran Tentera Darat Malaysia (TDM) sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-87.
 
Sempena majlis itu juga, Shafie turut dianugerahkan pemakaian pangkat sebagai Brigadier Jeneral Kehormat berkuatkuasa pada 28 Januari tahun ini oleh TDM.

Mengikut kenyataan media TDM, pemakaian pangkat terbabit selaras dengan pelantikan pemimpin itu sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Sabah.
 
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong pula menerima pemakaian pangkat Kolonel Kehormat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Sabah.

Pemakaian pangkat untuk kedua-dua pemimpin terlibat juga disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi. 

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Perdana Menteri Ke-8 selaras Perkara 40 (2) (a) dan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara Shafie yang ditemui media tiga hari lepas pula mengatakan bahawa WARISAN memilih untuk kekal dengan pendirian bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir.

Sumber: Utusan Borneo