Pemimpin BN Bersyukur Kemenangan Di Kimanis

Kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis dengan 2,029 majoriti dalam pertembungan satu lawan satu itu, sebagai kemenangan selesa.

BEAUFORT: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan kesyukuran atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, malam ini.

Beliau menyifatkan kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis dengan 2,029 majoriti dalam pertembungan satu lawan satu itu, sebagai kemenangan selesa.

“Saya nak ambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Kimanis yang telah memberi kepercayaan kepada BN di PRK Kimanis ini.

“Tahniah kepada seluruh jentera di Bahagian Kimanis, bahagian seluruh negeri Sabah dan ahli Majlis Tertinggi, rakan parti komponen BN, sahabat-sahabat dan tak lupa jentera dan kepimpinan PAS serta semua yang terbabit bertungkus lumus bekerja siang dan malam,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook rasminya, malam ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, turut mengucapkan tahniah kepada calon BN, Datuk Mohamad Alamin yang menerima 12,706 undi bagi menumbangkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi.

Ka Siong menerusi kenyataan di Facebook, menyifatkan kejayaan itu amat bermakna kepada BN apabila menang dengan majoriti undi lebih besar berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kemenangan BN buat kali kelima berturut-turut dalam PRK sejak PRU-14 pada 9 Mei 2018 membuktikan rakyat benar-benar muak dan tidak yakin lagi dengan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan WARISAN di peringkat negeri.

“Biarpun PH dan WARISAN menabur pelbagai peruntukan, memiliki kekuatan jentera kerajaan termasuk media utama, tetapi rakyat bijak memilih wakil rakyat mereka.

“Mesej rakyat di Kimanis sama seperti di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands dan Tanjung Piai, iaitu rakyat benar-benar terluka dengan kerajaan PH yang bukan saja gagal menunaikan janji manifesto, bahkan gagal menjaga hak dan kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mendakwa undian menunjukkan berlaku penolakan rakyat terhadap PH, khususnya di kawasan majoriti Melayu dan Bumiputera.

“Tahniah, Kimanis telah berpendirian kepada BN, malah penolakan rakyat terhadap PH adalah merata terutamanya di kawasan Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *