Penunggang Motosikal Maut Rempuh Lori Tangki

Mohammad Bahrin terkorban dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal ditunggangnya merempuh lori tangki dalam satu kejadian di Jalan Sapi Nangoh – Paitan, berdekatan Kampung Botition, hari ini. – Ihsan pembaca

BELURAN: Seorang pemuda terkorban dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal ditunggangnya merempuh lori tangki dalam satu kejadian di Jalan Sapi Nangoh – Paitan, berdekatan Kampung Botition, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, Mohammad Bahrin Nasir, 22 tahun, beralamat di Kampung Keramuak, dekat Tongod, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian pemuda itu sedang dalam perjalanan ke arah Paitan bersendirian.

Sebaik tiba di selekoh, motosikal dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori tangki.

“Penunggang motosikal itu dilaporkan turut terkena bahagian tangki air di bawah lori terbabit.

“Akibat kejadian, pemuda berkenaan cedera teruk di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke bilik mayat Hospital Beluran untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.