Dua Kenderaan 4×4 Musnah Dalam Kebakaran Rumah Di Tongod

Rumah dan dua kenderaan pacuan empat roda musnah dalam kebakaran berkenaan.

KINABATANGAN: Dua buah kenderaan pacuan empat roda musnah selepas sebuah rumah terbakar dalam satu kebakaran di Kampung Tongod, kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba (PPB) Nurul Azlan Shah Jamaludin berkata pihaknya telah menerima panggilan melalui talian balai lebih kurang jam 11.30 pagi mengenai kebakaran itu.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan telah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak jarak lebih kurang 183 kilometer daripada Balai Bomba Kinabatangan,” katanya. 

Beliau berkata operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Khairul Aris dengan menggerakkan sebuah jentera kecemasan iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) bersama anggota penyelamat. 

“Menurut Komander Operasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan rumah 20’x40’ dan telah terbakar 100 peratus. 

Beliau berkata turut musnah terbakar melibatkan dua buah kenderaan pacuan empat roda. 

“Pasukan bomba mengalami kesukaran ke lokasi kejadian disebabkan laluan yang sempit,” katanya. 

Azlan Shah berkata operasi dapat dikawal pada jam 4.50 petang dan tamat sepenuhnya lebih kurang jam 5 petang. 

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya masih lagi menjalankan siasatan punca kebakaran dan anggaran kerugian. 

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *