PSS Bukan Tiket Dapat Kewarganegaraan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) bukan bertujuan memberi kewarganegaraan kepada mana-mana warga asing seperti yang tersebar di media sosial.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini menegaskan terdapat penyelewengan fakta sehingga berlaku kekeliruan dalam isu berkenaan.

Kenyataan itu menegaskan PSS bertujuan menyeragamkan kepelbagaian dokumen dimiliki warga asing di Sabah iaitu dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dikeluarkan oleh tiga agensi berbeza.

IMM13 dikeluarkan Jabatan Imigresen (Imigresen), manakala Kad Burung-burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan Sijil Banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mulai 1 Jun 2020, pengeluaran PSS hanya akan dilaksanakan oleh Imigresen Sabah selepas permohonan diperakukan kerajaan negeri.

“Proses semakan silang antara agensi pengeluar iaitu Imigresen, JKM Sabah dan MKN Sabah dilaksanakan bagi memastikan hanya pemohon yang memegang dokumen tulen layak dikeluarkan PSS.

“PSS adalah satu inisiatif murni kerajaan untuk menangani masalah pemalsuan dokumen di Sabah. PSS ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan nombor ID bagi memudahkan proses pengecaman, semakan dan pengesahan semasa operasi penguatkuasaan dijalankan,” menurut kenyataan itu.

September lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan PSS bagi menggantikan tiga dokumen warga asing di Sabah mulai tahun ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan pelaksanaan PSS membolehkan pihak berkuasa mengesan dan memantau keberadaan serta pergerakan pemegang dokumen, sekali gus membolehkan kerajaan merekodkan data yang dikemas kini, teratur dan sahih.

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa status pemegang PSS adalah kekal sebagai warga asing dan bukan satu jaminan untuk diberikan Permit Masuk, Taraf Pemastautin Sementara, Pemastautin Tetap atau Kewarganegaraan.

“Satu Pasukan Petugas Khas ditubuhkan di peringkat Sabah yang dipengerusikan secara bersama oleh JKM Sabah dan MKN Sabah, dianggotai pelbagai agensi bagi meningkatkan tadbir urus yang berkesan dalam pelaksanaan dasar dan pemantauan operasi PSS.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin mengingatkan semua pihak supaya merujuk kepada sumber yang sahih dan tidak mudah terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja cuba memutarbelitkan fakta demi agenda tersendiri,” menurut kenyataan itu.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *