Terima Kasih Semua…“Saya Tidak Berniat Mencemarkan Nama Baik Sekolah”

Dayang Nur Azrina memperlihatkan buku teks yang diterima pagi tadi atas sumbangan pihak yang berasal dari Kuala Lumpur. Gambar Ihsan Rosinah Hussin

SANDAKAN: “Dia sungguh gembira kerana memiliki buku teks sendiri,” kata ibu tunggal yang berterima kasih kepada pihak yang membantu menyelesaikan masalah keperluan buku teks anak perempuannya.

Rosinah Hussin, 36, berkata, kira-kira sejam selepas berita mengenai anaknya, Dayang Nur Azrina Ad Azlan, 10, yang memerlukan buku teks sekolah disiarkan di Harian Metro semalam, ramai pihak yang menghubunginya untuk memberikan bantuan.

Menurutnya, hari ini ada pihak menyerahkan sembilan buku teks Tahun Empat di sekolah anaknya.

“Saya sangat berterima kasih kepada pihak menyumbang dan saya difahamkan penyumbang dari Kuala Lumpur itu menyampaikan bantuan buku teks terbabit melalui wakilnya di Sandakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Rosinah berkata, pihaknya meminta maaf kepada pihak sekolah di atas penyiaran berita mengenai anaknya.

“Saya tidak berniat mencemarkan nama baik sekolah. Tujuan saya adalah untuk mendapatkan bantuan buku teks sahaja.

“Namun, sekiranya ia mengguris hati pihak sekolah, dengan penuh kejujuran dan keinsafan saya memohon maaf atas kekhilafan saya,” katanya.

Semalam, Harian Metro menyiarkan berita berkaitan anak perempuan Rosinah yang tidak mendapat bantuan pinjaman buku teks darjah empat.

Anaknya menerima bantuan buku teks kerana tidak memiliki sijil lahir dan masih menunggu sijil lahir daftar lewat.

649