UPKO Dijenamakan Sebagai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu

KOTA KINABALU, 23 Nov: Parti Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) dijenamakan sebagai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu  bagi memastikan parti berkenaan terus relevan.

Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata hari ini sekali lagi parti berkenaan membuat keputusan dan mengambil langkah untuk memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat semasa iaitu menggugurkan politik perkauman kepada politik universal dan inklusif melalui penjenamaan semula  namun mengekalkan singkatan sama iaitu UPKO.

“Walaupun UPKO selama ini juga pejuang membela rakyat khususnya untuk menangani pelbagai cabaran hidup rakyat seperti kekurangan peluang-peluang pekerjaan; pelbagai isu pendidikan, isu-isu alam sekitar, integriti dalam urus tadbir seperti salah guna kuasa, rasuah, kejujuran dan keadilan, namun kekadang isu perkauman mendominasi persepsi rakyat terhadap UPKO lebih daripada segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Luarbiasa UPKO 2019, di sini hari ini.

Madius berkata penjenamaan semula parti berkenaan dilakukan pada 8 Ogos 1999 melalui satu langkah meminda perlembagaan Parti Demokratik Sabah (PDS) dan menghidupkan kembali UPKO.

“Insiden ini juga merupakan satu langkah penyesuaian terhadap tuntutan aspirasi dan kehendak rakyat pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata pada asalnya, UPKO adalah sebuah parti yang ditubuhkan pada Mei 1964 hasil gabungan daripada Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (United Kadazan National Organisation) (UNKO) dan Pertubuhan Pasok Momogun Bersatu (United Pasok Momogun Organisation) (Pasok Momogun), ditubuhkan pada Januari 1962 iaitu dua buah parti politik yang masing-masing memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa Kadazan Dusun Murut (KDM).

Bagaimanapun, ekoran tewas dalam pilihanraya pada tahun 1967,  UPKO kemudiannya dibubarkan pada Disember  tahun yang sama.

Dengan terjadi pelbagai rentetan kemelut politik Sabah sehingga kejatuhan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun 1994 telah mencetuskan penubuhan PDS dibawa pimpinan Tan Sri Bernard Giluk Dompok, namun PDS masih tidak berjaya menyatukan masyarakat KDM pada masa itu sehingga pembubarannya dan diikuti penubuhan semula UPKO pada 1999.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata penubuhan semula UPKO pada ketika itu terbukti sesuai dengan aspirasi dan kerangka politik semasa selama dua dekad bermula 1999 sehingga 2018.

 “Pelbagai jasa bakti dan pelayanan telah UPKO curahkan kepada rakyat jelata. Namun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) jelas menunjukkan bahawa aspirasi rakyat sudah jauh berubah. Sebab itulah, sekali lagi UPKO berhadapan dengan satu situasi yang mendorong kita untuk mengadakan Persidangan  Perwakilan Luarbiasa UPKO pada hari ini demi memenuhi tuntutan menjenamakan semula UPKO.

“Keputusan kearah itu diambil setelah melalui kajian dan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin UPKO disemua lapisan yang telah diadakan selama lebih setengah tahun. Kajian itu telah dilaksanakan ekoran daripada resolusi kita dalam persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO 2018.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Tuaran berkata penelitian terhadap perbahasan Usul Penjenamaan semula UPKO semasa persidangan tersebut, jelas menunjukkan bahawa keputusan PRU14 telah membuka mata dan minda semua ahli parti sehingga penjenamaan semula dibuat pada persidangan hari ini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *