(VIDEO) Tular Rakaman Tiga Mangsa Culik Abu Sayyaf Merayu Diselamatkan

KOTA KINABALU: Rakaman video memaparkan tiga lelaki warga Indonesia yang dipercayai diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu pada 24 September lalu merayu kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan majikan di Malaysia menyelamatkan mereka tular sejak semalam.

Video berdurasi 44 saat itu menunjukkan lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Maharudin Lunani dan diapit dua rakannya dikenali sebagai Muhammad Farhan serta Samiun maneu menyatakan Abu Sayyaf meminta wang tebusan sebanyak 30 juta peso (RM2.4 juta) untuk dibebaskan.

Rakaman yang dimuatkan di laman sosial Facebook itu menunjukkan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan tangan terikat duduk mencangkung dan hanya berseluar tanpa baju.

“Kami adalah warga Indonesia, kami bekerja di Malaysia, kami kena tangkap kumpulan Abu Sayyaf pada tanggal 24 September 2019.

“Saya harap bos kami membantu kami untuk membebaskan kami dan juga kepada Presiden Republik Indonesia, tolong kami supaya kami bebas dari sini.

“Kumpulan Abu Sayyaf meminta tebusan 30 juta peso (RM2.4 juta) supaya kami dapat kembali ke Indonesia,” kata Maharudin di dalam video itu.

Ketiga-tiga mereka dipercayai kru sebuah bot yang diculik kumpulan Indonesia September lalu ketika keluar menangkap ikan pada waktu malam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah seperti dilaporkan berkata, pihak polis masih belum menerima laporan berkaitan video berkenaan.

Katanya, siasatan tentang penculikan itu masih dijalankan.

BorneoToday

5719