Iman Sudah Tiada…

Gambar kenangan ketika Christina melawat Iman di Tabin pada Ogos lalu. FOTO ihsan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

KOTA KINABALU: Malaysia kehilangan satu-satunya badak sumbu Sumatera selepas Iman disahkan mati pada 5.35 petang hari ini.

Kematian mamalia betina itu diumumkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah melalui satu kenyataan media.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata, kematian Iman secara semula jadi dan dikategorikan sebagai mati mengejut.

“Walaupun kami tahu ia akan berlaku, namun tidak menyangka berlaku dengan cepat dan kami sangat sedih dengan berita ini.

“Iman diberi penjagaan dan perhatian terbaik sejak Mac 2014 sehingga ia sembuh.

“Dia sebenarnya hampir mati apabila beberapa kali kehilangan banyak darah akibat ketumbuhan atau tumor pada uterusnya beberapa tahun lalu.

“Pasukan di Tabin memberikan sokongan sepenuhnya dan berjaya memulihkan tahap kesihatannya dan menghasilkan sel telur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, kematian Iman berlaku lebih awal daripada jangkaan.

“Kami sedar Iman mula mengalami kesakitan akibat tekanan semakin bertambah pada tumor di pundi kencingnya,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Iman yang berusia 25 tahun itu semakin tenat dan menyebabkan proses pengambilan telur untuk pembiakan secara in-vitro (IVF) sukar dilakukan.

Harian Metro

536