
MANILA: Seorang kanak-kanak terkorban dan lebih 20 lagi dilaporkan cedera susulan satu gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter yang menggegarkan Mindanao, Filipina, hari ini, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pihak berkuasa mula menerima laporan daripada pegawai di pulau Mindanao tempat gempa itu berlaku dengan keretakan pada bangunan dan rumah sehingga mencemaskan penghuni yang berlari keluar dari kedai dan pejabat. Ketika sama bekalan elektrik turut terjejas.
“Hospital utama kami melaporkan seorang kanak-kanak terkorban kerana gempa,” kata datuk bandar Tulunan di wilayah Cotabato Utara kepada stesen radio DZMM.
Gempa itu turut menggegar bandar raya Davao, iaitu kampung asal Presiden Rodrigo Duterte yang juga antara bandar raya yang paling padat dengan penduduk di negara berkenaan.
Di bandar Magsaysay, kira-kira 20 orang cedera akibat terkena serpihan yang jatuh dan perabot di rumah, menurut pegawai penerangan tempatan, Anthony Allada.
USGS berkata, gempa berlaku kira-kira 7.7 kilometer di bandar Columbio, Mindanao pada kedalaman 14 kilometer. – REUTERS