Sabah Sasar Kejayaan Liga Super Dengan Barisan Pemain “Lebih Baik Dari JDT”

KOTA KINABALU: Presiden Safa Datuk Peter Anthony membayangkan akan ada kejutan apabila senarai barisan kesebelasan utama Sabah untuk menghadapi Liga Super diumumkan nanti.

“Ya, akan ada kejutan dan mungkin (barisan pemain Sabah) lebih baik dari JDT,” ujarnya.

Menurut beliau nama-nama pemain telahpun disenaraipendek tetapi akan hanya diumumkan setelah Safa mendapatkan perjanjian dengan mereka.

Peter (duduk tengah) bersama barisan kepimpinan dan AMT Safa setelah Kongres Tahunan Safa selesai bersidang hari ini. Gambar SNT/Ihsan Safa

Peter turut mengulangi bahawa beberapa pemain akan digugurkan dari skuad Tambadau kerana Sabah amat komited untuk mencapai kejayaan di Liga Super nanti.

Pihak pengurusan juga telah menerima senarai nama-nama pemain yang dicadangkan oleh ketua jurulatih yang terdahulu untuk dipertimbangkan.

Ketua jurulatih Jelius Ating tidak akan mengendali pasukan Tambadau dalam Liga Super nanti.(Lihat berita berkaitan)

“Sekiranya kita masuk Liga Super hanya sekadar untuk bermain saya rasa lebih baik kita terus berada dalam Liga Premier,” katanya semasa ditemui dalam sidang akhbar selepas Kongres Tahunan Safa hari ini.

Walaupun Peter enggan mendedahkan nama pemain yang diintai untuk menyarung jersi Sabah, difahamkan mereka ialah pemain yang berkaliber dan antara yang terbaik dalam persada sukan bola sepak negara ketika ini.

Pasukan Liga Super dibenarkan mengambil lima pemain import berbanding empat sahaja bagi pasukan Liga Premier.

Selain itu, beliau berkata Sabah akan turut  menjelajah ke negara Asia Timur seperti Korea dan Jepun mencari pemain import yang boleh membantu mencapai sasaran tahun hadapan.

Dalam pada itu, kepimpinan baharu Safa yang diterajuinya akan merangka satu pelan tindakan pembangunan bola sepak Sabah yang komprehensif.

Safa bercadang untuk mendapatkan tanah supaya prasarana seperti padang latihan dan juga kuarters pemain luar daerah berhampiran dengan ibupejabat persatuan di Likas.

“Sekiranya kelab bola sepak boleh mempunyai padang latihannya sendiri kenapa pasukan mewakili negeri tidak boleh?” soal beliau.

Di dalam Kongres tersebut Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur telah sah sebagai presiden Safa selepas mendapat persetujuan sebulat suara dari para perwakilan gabungan Safa.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *