Tuntut Pampasan Sebab Anak Maut Tiru Masakan

Aksi masakan Ms Yeah dalam video yang tular di media sosial. Foto Agensi

BEIJING: Seorang selebriti internet China terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada keluarga remaja perempuan yang maut dalam letupan ketika cuba meniru masakannya yang dimuat naik di YouTube.

Kejadian berlaku pada 22 Ogos lalu ketika mangsa Zhezhe, 14, dan rakannya Xiaoyu, 12, membuat bertih jagung dalam tin minuman seperti dilakukan selebriti Ms Yeah dalam video yang tular di media sosial.

Yangtze Evening News melaporkan, letupan berlaku apabila mereka menuang alkohol industri pekat ke dalam dua tin yang dinyalakan api.

Percikan api menyebabkan baldi berisi bahan mudah terbakar seberat satu kilogram itu yang terletak di sebelah mereka meletup.

Dua gadis terbabit dilaporkan melecur teruk dan Zhezhe meninggal dunia pada 5 September lalu.

Ms Yeah dalam kenyataannya di media sosial mempertahankan diri dengan menjelaskan menggunakan satu tin dan pelita alkohol yang dikatakan lebih selamat untuk membuat bertih jagung.

Selebriti berusia 25 tahun itu berkata akan menyemak semula semua videonya dan akan memadamkan video yang boleh mendatangkan bahaya.

Pada Isnin lalu, wakil Ms Yeah bertemu dengan keluarga Zhezhe dan bersetuju untuk membayar sejumlah pampasan, lapor The Beijing News.

Wakilnya dilaporkan masih berbincang dengan keluarga Xiaoyu yang terpaksa menanggung bil perubatan mencecah 20,000 yuan (RM11,775).

Saudara Xiaoyu berkata budak itu perlu melakukan pembedahan kosmetik, namun keluarganya tidak mempunyai wang mencukupi.- Agensi