
BAYI DIDERA EMPAT RAKAN IBU HINGGA MAUT
SEMPORNA: Dipukul, dipijak, dihumban. Itulah perbuatan kejam empat wanita hingga menyebabkan bayi lelaki berusia 20 bulan maut dalam kejadian di rumah tidak bernombor Kampung Egang-Egang, pulau Bum Bum semalam.
Kejadian itu disedari ibu bayi terbabit setibanya di rumah mereka apabila melihat mangsa dalam keadaan lemah, pucat dan tidak bernafas.

Berikutan itu, ibu bayi terbabit membawa anaknya ke Hospital Semporna, kira-kira jam 12 tengah hari bagi mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun keadaan bayi itu makin kritikal dan disahkan meninggal dunia enam jam kemudian.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, jam 7.34 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, bertindak atas laporan polis itu, pihaknya menahan empat wanita berusia 16 hingga 19 tahun dipercayai rakan serumah ibu bayi berkenaan.
Katanya, ketika kejadian bayi terbabit ditinggalkan oleh ibunya di rumah salah seorang suspek yang juga rakan serumah sebelum empat suspek bertindak memukul mangsa.
“Suspek dipercayai bertindak menampar mangsa kemudian menghumbannya ke tilam dan menariknya semula hingga muka mangsa terkena besi tilam.
“Seorang lagi suspek bertindak memijak belakang bayi terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, keempat-empat suspek wanita itu adalah rakan ibu mangsa dan semua mereka tinggal menumpang.
“Pada jam 9.30 malam tadi, polis menahan keempat-empat suspek terbabit untuk siasatan lanjut. Tiga suspek adalah warga Filipina manakala seorang warga Indonesia.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Difahamkan, bayi itu anak pertama hasil perkahwinan ibu bapanya namun pasangan berkenaan sudah bercerai hampir setahun yang lalu.
SabahNewsToday