Subuah Rumah Di PPR Sibuga Hampir Musnah Terbakar

Bahagian dalam rumah flat tingkat 5 PPR Jalan Lintas Sibuga yang musnah dalam kebakaran.

SANDAKAN:  Tindakan pantas oleh jiran berjaya menghalang kebakaran di sebuah rumah flat di tingkat 5 PPR Jalan Lintas dari merebak ke rumah bersebelahan awal pagi tadi.

Beberapa jiran yang menyedari kebakaran tersebut telah mengejutkan penghuni yang masa itu sedang tidur dalam rumah berkenaan. 

Mereka kemudian cuba memadamkan kebakaran dengan menggunakan tiga pemadam api dan bekalan air yang disambung dari rumah berhampiran

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah telah menerima panggilan kecemasan pada jam 1.19 pagi melalui talian MERS 999.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan bergegas ke lokasi kejadian dengan jarak 12KM daripada Balai.

Operasi diketuai oleh PBK II Bernadinus Jacob bersama 11 orang anggota dengan menggerakan 2 buah jentera kecemasan (FRT) dan 1 buah jentera kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah flat yang terbakar 60% . Kebakaran dapat dikawal pada jam 2.00 pagi dan padam sepenuhnya sepuluh minit kemudian.

Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.