‘Kami Dihujani Batu Bertalu-Talu, Dilontar Botol Air Kencing’

Anggota keselamatan mengawal penyokong Malaysia yang hadir ketika menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Indonesia menentang Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno. – Foto Ihsan Adam Ghazali

Tepat jam 9.20 pagi, Khamis, pesawat menerbangkan penyokong setia bola sepak Harimau Malaya ke bumi Jakarta. Setibanya di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, keadaan sangat mengujakan apabila kelihatan lebih kurang 500 `ekor’ Harimau Malaya sudah berkumpul untuk ke Stadium Gelora Bung Karno (GBK).

Setibanya di perkarangan GBK, kehadiran kami disambut dengan kata-kata provokasi oleh segelintir penyokong tuan rumah. Keadaan tidak berakhir di situ sahaja. Kami dihujani batu-batu dari luar perkarangan stadium. Keadaan membuatkan kami menjadi panik dan bertempiaran lari masuk ke dalam. Syukur tiada yang cedera. Kami berada empat jam lebih awal di dalam sebelum sepak mula. Ramai yang kehausan dan kelaparan.

PERLAWANAN dihentikan seketika akibat penyokong mula memasuki padang pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung karno. – Foto Eizairi Shamsudin

Penyokong pasukan tuan rumah mula memenuhi stadium pada jam 5 petang. Ketika itulah drama ketegangan antara penyokong bermula. Episod caci dan maki bermula. Kain rentang anti malaysia dan anti Ultras Malaya digantung merata-rata. Keadaan sedikit tegang tetapi diredakan oleh sokongan semangat antara penyokong. Masing-masing memujuk hati untuk terus setia di dalam stadium. Kami sedar kehadiran sebagai tetamu dan hanya ingin menonton perlawanan bola sepak. Provokasi bukan yang kami mahu lakukan. Semua ini dilakukan sebagai usaha mencari `damai’ dengan penyokong tuan rumah.

Tiupan wisel pengadil perlawanan dari Korea Selatan memulakan perlawanan tepat jam 7.30 malam waktu tempatan. Kedua-dua penyokong memulakan paluan gendang dan sorakan bagi memberi semangat kepada pemain. Keadaan kami di tempat penyokong sudah mula rasa tidak selesa kerana mula dibaling dengan objek-objek seperti botol air yang berisi air kencing, bateri telefon bimbit, pemetik api dan sisa makanan.

PERLAWANAN terpaksa dihentikan sementara akibat penyokong mula memasuki padang pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia menentng Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno. – Foto Eizairi Shamsudinprevnext

Penyokong Harimau Malaya baik dari tanah air atau di Jakarta sangat berdisiplin dan tidak melayan sebarang provokasi penyokong tuan rumah. Tetapi keadaan mula menjadi tidak terkawal bagi penyokong tuan rumah selepas gol penyamaan 2-2 yang dijaringkan oleh Syafiq Ahmad. Terdapat beberapa penyokong `Ultras Garuda’ menerjah ke kawasan penyokong Malaysia. Sehinggakan pengadil menghentikan perlawanan seketika.

Ketika itu juga kami dihujani balingan bom asap dari aras atas kawasan kami. Sungguh mencemaskan. Sehingga perkara yang tidak diingi berlaku iaitu satu lontaran objek terkena kepala penyokong Harimau Malaya. Penyokong itu sesak nafas dan rebah. Pihak keselamatan seolah-olah sudah hilang kawalan. Selepas ditangguhkan beberapa minit, perlawanan kembali disambung. Keadaan sudah mula rasa tegang. Di setiap sudut, kiri, kanan dan atas kami sudah berasa terancam.

Hanya menunggu wisel penamat sahaja untuk segera beredar. Lontaran objek demi objek menyinggahi kepala dan badan kami. Kami mengambil pendekatan mendiamkan diri dan tidak bersorak lagi untuk Harimau Malaya. Di saat genting begini, kami amat berpuas hati jika keputusan perlawanan berakhir dengan seri sahaja. Namun, pada minit-minit akhir, keadaan tidak dijangka apabila Muhamadou Sumareh berjaya menjaringkan gol hasil hantaran lintang Matthew Davies.

Kami terpaksa menahan perasan teruja dengan jaringan itu memandangkan penyokong tuan rumah sudah `naik hantu’. Sejurus selepas gol kemenangan Malaysia, pengadil tidak lagi mahu mengambil risiko. Permainan ditamatkan. Penyokong Malaysia diminta segera beredar dan turun ke ruangan bawah stadium. Kami dikuarantin di dalam dewan tertutup bersebelahan bilik persidangan media. Disitulah kami meraikan kejayaan Harimau Malaya membenam Garuda. Beberapa penyokong berderaian air mata kegembiraan sambil berpelukan.

Hampir tiga jam kami ditempatkan di dalam ruangan itu. Suasana luar masih tidak selamat. Hanya selepas pasukan Harimau Malaya dibawa pulang ke hotel barulah kami pula dibawa keluar. Rombongan kami dikemudi oleh kenderaan barracuda sambil diiringi oleh polis bermotosikal serta polis peronda. Mereka mengiringi bas kami ke terus lapangan terbang. Sebahagian besar penyokong Harimau Malaya bermalam di ruang legar menunggu pesawat. Syukur semuanya selamat.

Ini bukanlah sesuatu yang diperlukan dalam usaha kita memupuk semangat kesukanan. Yang kita mahukan adalah semangat muhibbah dan kedamaian. Syukur kerana penyokong bola sepak di tanahair masih bertamadun.

Berita Harian