JPN Beri Penjelasan Isu Gambar Tular

Gambar Mykad yang tular di media sosial berhubungan kewarganegaraan Malaysia. – Foto ihsan Media Sosial

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan isu yang tersebar luas di media sosial berhubung dakwaan warganegara China memiliki MyKad baru-baru ini, pernah ditularkan pada 2018.

JPN menerusi kenyataan hari ini berkata, pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan isu terbabit mendakwa JPN memberi kad pengenalan kepada warga China.

Sehubungan itu, JPN menjelaskan, individu terbabit adalah isteri kepada warga Malaysia yang memperoleh kewarganegaraan Malaysia menerusi Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan pada September 2017.

“Sebagai isteri kepada warganegara Malaysia yang berkahwin secara sah mengikut undang-undang Malaysia, beliau boleh memohon kerakyatan setelah memenuhi syarat ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Permohonan dan kelulusan kewarganegaraan bukan tertumpu kepada kaum tertentu, malah JPN menerima dan meluluskan daripada pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia.

“Penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada warga asing yang benar-benar layak dan perlu mengikut syarat ditetapkan, selain tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, JPN meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar berkenaan di media sosial bagi mengelak kekeliruan dan kebimbangan rakyat bahawa kerajaan sewenang-wenangnya memberi kewarganegaraan kepada rakyat asing.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang menyebarkan sebarang isu berunsur fitnah kepada kerajaan,” katanya.

Berita Harian