PSS Langkah Tepat Atasi Isu Dokumentasi Warga Asing Di Sabah

Datuk Nani Sakam

KOTA KINABALU: Gabungan Badan Bukan kerajaan (NGO) Negeri Sabah (GANNOS) menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) untuk warga asing yang sudah lama menetap di negeri ini sebagai pendekatan paling sesuai untuk mengatasi isu dokumentasi golongan berkenaan.

Yang Dipertuanya, Datuk Nani Sakam, berkata pengeluaran PSS bukan saja memastikan hanya ada satu dokumen digunakan sebagai pengenalan untuk warga asing, malah mampu memudahkan kawalan dan pengurusan warga asing di negeri ini.

Beliau berkata, keadaan itu secara tidak langsung dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan pengurusan kerajaan sejajar usaha ke arah meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan dalam semua aspek.

“Sebagai NGO yang terbabit dalam menangani isu dokumentasi penduduk negeri ini, GANNOS memang bersetuju dan menyokong pengeluaran PSS dan kita yakin ia dapat membawa perubahan yang lebih baik dalam pengurusan warga asing di negeri ini.

“Banyak manfaat yang boleh diperoleh melalui langkah itu termasuk penjimatan wang pengurusan kerajaan, selain kawalan yang lebih berkesan terhadap warga asing di Sabah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengeluaran PSS bagi menggantikan IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci yang ketika ini digunakan sebagai dokumen pengenalan warga asing yang sudah lama menetap di Sabah seperti diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Nani berkata, langkah itu juga selari dengan perjuangan GANNOS dalam usaha membantu kerajaan menangani isu penduduk tanpa dokumen, khususnya yang membabitkan anak dilahirkan di negeri ini hasil perkahwinan orang tempatan dengan warga asing.

Katanya, isu dokumentasi membabitkan warga asing yang sudah lama menetap di negeri ini, termasuk anak yang lahir hasil perkahwinan mereka dengan penduduk tempatan berlarutan sejak sekian lama dan ia diharap dapat ditamatkan menerusi PSS.

Sebelum ini, GANNOS menerusi bancian yang dijalankan badan itu dalam tempoh sebulan antara Jun hingga Julai tahun lalu, mengenal pasti kira-kira 60,000 individu di Sabah tiada dokumen pengenalan diri walaupun mereka lahir di Sabah.

Nani berkata, berdasarkan bancian itu didapati pelbagai faktor menjadi punca individu terbabit tiada dokumen antaranya perkahwinan campur dengan warga asing yang mana seorang daripada pasangannya tiada dokumen lengkap.

Semalam, ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah yang dipengerusikan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Muhyiddin berkata PSS akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun tahun depan.

Beliau berkata, kad berkenaan akan dilengkapi ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari pemegangnya dengan setiap pemegangnya dikenakan bayaran RM120 untuk tempoh tiga tahun dan ia boleh diperbaharui.

Katanya, dianggarkan sebanyak 600,000 PSS akan dikeluarkan kepada warga asing terbabit berdasarkan jumlah pemegang tiga jenis dokumen yang dikenal pasti ketika ini.

IMM13 adalah dokumen yang dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada pelarian perang dari selatan Filipina pada 1970-an, manakala Kad Burong-Burong dan Sijil Banci masing-masing dikeluarkan kepada pendatang asing pada era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan.