Perintah Berkurung Di ESSZone Dilanjutkan

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini, akan dilanjutkan hingga 8 September depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata perintah berkurung dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Justeru, beliau berkata, orang ramai yang tinggal di kawasan itu dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan, antara jam 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas mengancam keselamatan penyelidik dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung juga bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di kawasan daratan ESSZone,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Omar berkata, perintah berkurung akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Katanya, berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina, masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya. – BERNAMA