Pasukan Bola Sepak Sabah, Peserta Unduk Ngadau Sertai Perarakan Hari Kebangsaan

KOTA KINABALU, 23 Ogos: Acara perbarisan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini pada 31 Ogos ini akan dimeriahkan dengan perarakan pasukan bola sepak Sabah membawa trofi Piala Perdana dan peserta Unduk Ngadau 2019.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, Datuk Abd Muis Picho berkata, 142 pasukan akan menyertai acara perbarisan membabitkan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sekolah, institut pengajian tinggi awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.

Bendera Malaysia dan bendera negeri Sabah dikibarkan bersama sempena perarakan perbarisan sambutan Hari Merdeka ke-57 di Stadium Kompleks Sukan Likas – FOTO BERNAMA

Acara itu akan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Acara perbarisan akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens di sini dengan acara kemuncak pada upacara perbarisan antaranya perarakan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Darat dan perarakan Bendera Negeri Sabah oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), katanya pada sidang media sempena jamuan malam bersama media sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini, malam tadi.

Antara acara menarik pada hari itu ialah penerbangan lintas hormat pesawat Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Teknikal oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

Muis berkata, laluan perbarisan akan bermula dari Sutera Harbour Resort bagi kenderaan dan dari pusat membeli-belah Imago bagi mereka yang berjalan kaki yang keseluruhan akan mengambil jarak kira-kira tiga kilometer.

Katanya, jalan terlibat akan ditutup buat sementara bagi memberi laluan kepada acara raptai dan hari sebenar sambutan bermula dari 27 hingga 31 Ogos ini dari pukul 6.00 pagi hingga selesai.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *