Itu Video Lama, Shafie Jawab Kritik PPBM Seperti UMNO

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menolak video yang menunjukkan beliau menyamakan PPBM dengan Umno, mengatakan klip itu yang tersebar di media sosial itu adalah video lama.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis hari ini, Shafie, yang juga presiden Warisan, berkata ucapannya dalam video itu dibuat ketika PPBM melebarkan sayapnya ke Sabah.

“Sebelum ini, kami memahami PPBM tidak akan masuk ke Sabah.

“Kami tahu terdapat ahli dalam parti kami yang ragu-ragu dan bimbang, serta mereka yang ingin keluar parti kerana mereka tidak mempunyai jawatan.

“Tetapi itu cerita lama. Hari ini kita bersama, jadi kita akan bekerjasama dengan PPBM di negeri ini,” katanya.

Dalam perjanjian dengan Warisan sebelum pilihan raya umum tahun lalu, PPBM berjanji ia tidak akan memasuki Sabah.

Bagaimanapun, parti yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu melancarkan partinya di negeri itu pada April.

Menerusi klip 2 minit itu menunjukkan seorang lelaki menyerupai Shafie berbual dengan beberapa wanita yang dipercayai cuba mendapatkan pandangannya untuk menyertai PPBM.

“Ini Bersatu (PPBM) Umno…Jadi, kenapa kamu ikut Bersatu (PPBM)?” soalnya.

Beliau juga berkata menyertai PPBM bermakna mereka menyokong Ketua PPBM Sabah, Hajiji Mohd Noor, bekas ketua Umno Sabah yang mengetuai puluhan ahli Umno Sabah menyertai PPBM awal tahun ini. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *