Ikan Paling Tua Di Dunia

Lackmann dan pasukan penyelidik berjaya menemui ikan tertua dunia yang berusia 112 tahun. Agensi

MINNESOTA: Seekor ikan air tawar spesies Bigmouth Buffalo yang ditemui pasukan penyelidik dari sebuah tasik di Minnesota, Amerika Syarikat, dipercayai ikan tertua di dunia dengan usia 112 tahun.

Daily Mail melaporkan, ikan terbabit yang hidup sepanjang zaman Perang Dunia dan ketika tragedi kapal Titanic karam itu ditemui di Crystal Lake, daerah Otter Tail oleh penuntut Doktor Falsafah (PhD) ekologi akuatik Universiti North Dakota, Alec Lackmann, Julai tahun lalu.

Dia bersama pasukan penyelidik melakukan kajian terhadap spesies ikan berkenaan selama tujuh tahun sejak 2011 dan mengumpul hampir 400 sampel.

Perkara mengejutkan mereka ialah kira-kira 90 peratus daripada ikan berkenaan berusia lebih 80 tahun manakala lima sampel yang diambil didapati berusia lebih 100 tahun.

Mereka menggunakan kaedah menentu tarikh radio karbon terhadap bukti penemuan itu untuk merekodkan usia ikan tertua berkenaan sebelum ia mati pada usia 112 tahun.

Lackmann berkata, penemuan itu adalah berdasarkan beberapa bukti yang dikumpul dalam tempoh tertentu sekali gus mengesahkan usia ikan terbabit.

Ikan Bigmouth Buffalo biasanya mempunyai jangka hayat selama 27 tahun dan ditemui di beberapa bahagian di negara berkenaan. – Agensi

17