TAMPARULI, 12 Ogos: Kegigihan dan minat Monica Nain dalam perniagaan tapak semaian menjadi faktor kepada Anika Nursery yang terletak di Lakang Ria, Jalan Tamparuli, di sini, dikenali peminat tumbuh-tumbuhan terutama bunga-bungaan.
Monica, 57, seorang ibu tunggal, memulakan Anika Nursery sejak tujuh tahun lepas kerana minatnya terhadap bunga, dan menjadi sumber pendapatan untuk membesarkan enam anaknya, seorang daripadanya berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam jurusan sumber manusia.
“Saya memulakan perusahaan Anika Nursery dengan modal kecil iaitu RM350 dan 10 pokok bunga pada 2012, sebelum berkembang secara perlahan-lahan sehingga dikenali pelanggan dari seluruh pelosok Sabah, Sarawak, Semenanjung dan Brunei.
“Kini, selepas hampir lapan tahun diusahakan, Anika Nursery berupaya memasarkan lebih 300 pokok pelbagai jenis tumbuhan terutama bunga kertas setiap bulan,” katanya kepada Bernama, di sini.
Sepanjang tempoh perusahaan itu beroperasi, Anika Nursery sudah menjual lebih 10,000 pelbagai jenis pokok bunga kepada pelanggan.
Selain menjual benih bunga, baja dan tanah hitam, Anika Nursery juga mengambil tempahan membina landskap halaman rumah, taman perumahan, hotel dan sekolah di daerah ini serta sekitarnya.
“Kerana kebolehan membina landskap yang berjaya memenuhi kehendak pelanggan, Anika Nursery pernah menerima bayaran tertinggi RM15,000 hingga RM40,000 hasil kerja dijalankan,” katanya.
Monica berkata walaupun baru berjinak-jinak dalam pembinaan landskap, pihaknya mampu menyiapkan tugasan itu dalam tempoh 10 hingga 15 hari dengan bantuan tiga pekerja.
Katanya sebahagian besar benih bunga yang disemai di Anika Nursery diperoleh dari Kota Marudu, daerah pengeluaran bunga terbesar di Sabah.
“Saya turut memperoleh benih bunga dikenali Gelombang Cinta dari Indonesia dan Kemboja Cina dari Thailand sebelum dibiakkan di tapak semaian ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang tidak mendapat pembiayaan mana-mana pihak dalam membangunkan perusahaan itu mahu memberikan tumpuan dalam menerima tempahan membina landskap sebagai tugasan utama akan datang.
BERNAMA