Vokalis Kumpulan Rock Popular Tahun 90an Ditahan Kerana Dadah

Kuala Lumpur: Seorang penyanyi kumpulan rock popular era 90-an ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan dadah di sebuah kabin di Taman Tenaga, Cheras di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata penyanyi berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam selepas pihak polis menemui satu paket plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah methamphetamine seberat 0.6 gram di lokasi dia ditahan.

“Suspek ditahan bersama dadah yang dianggarkan bernilai RM100 di dalam sebuah kabin bersebelahan tempat cuci kenderaan.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamin dan tetra hydrocannabinol (THC) berikutan hasil ujian saringan air kencing terhadapnya,” katanya.

Suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kumpulan rock yang dianggotai empat orang itu ditubuhkan pada 1994 dan kali terakhir mengeluarkan album kira-kira lima tahun lalu. – BERNAMA