Takut Hilang Kuasa Punca Xenophobia Rakyat Tempatan Terhadap PATI

KOTA KINABALU: Perasaan takut kehilangan kuasa ekonomi dan hak tanah menyebabkan penduduk tempatan negeri ini menyimpan perasaan benci atau xenophobia terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tidak dinafikan rakyat Sabah sangat mengambil berat terhadap kehidupan mereka dan membenci orang asing, khususnya yang datang secara haram.

Katanya, rakyat Sabah bimbang pendatang haram ini satu hari nanti melebihi penduduk tempatan, menyebabkan mereka risau kehilangan kuasa walaupun menjadi tuan tanah di negeri ini.

“Keadaan itu meningkatkan penindasan terhadap golongan berkenaan dan ia semakin berleluasa. Walaupun kumpulan etnik Sabah sentiasa menguasai dalam hal berkaitan kawalan ekonomi, penindasan masih berlaku.

“Orang ramai sering memainkan sentimen berkaitan kerakyatan atau kewarganegaraan untuk menyisihkan serta memerintah mereka. Ini boleh diperhatikan di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hashim Paijan, pada Persidangan Kebangsaan Kesembilan Menolak Diskriminasi bertema ‘Malaysia Baharu: Mencapai Perpaduan Dalam Masyarakat Plural’, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, paling penting ialah untuk memahami punca utama isu berkenaan termasuk sebab di sebalik kemasukan PATI ke Sabah.

“Dengan memahami faktor yang melingkari fenomena ini, saya berharap bukan saja xenophobia, malah kelompongan sosial dapat dikurangkan dengan lebih ketara.

“Mengambil kira kerumitan isu ini, saya merayu kepada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin tempatan supaya berhenti menggunakan sentimen seperti ini.

“Marilah kita bersatu dalam mencari penyelesaian yang sesuai untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang dijadikan idola dan contoh,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri memberi jaminan untuk memberikan kewarganegaraankepada setiap kanak-kanak tanpa dokumen yang lahir di negeri ini.

Beliau berkata, berdasarkan sebuah Gabungan NGO Negeri Sabah(GANNOS), ada kira-kira 60,000 orang di Sabah tanpa dokumen pengenalan diri yang sah walaupun berasal dari negeri ini.

“Menerusi usaha ini, kerajaan Sabah akan memastikan masa depan kanak-kanak ini stabil dan dijamin dengan kehidupan yang bebas daripada jenayah dan masalah sosial,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri melihat secara serius isu kewarganegaraan yang belum dimiliki ramai rakyat luar bandar Sabah memandangkan tiada yang dapat lari daripada berdepan isu dokumentasi.

“Mungkin ada ribuan kanak-kanak daripada etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus, orang Lundayeh di Long Pasia atau mereka yang di pantai timur yang mana ibu bapa mereka gagal mendaftar anak baru lahir.

“Sehubungan itu, usaha serius mesti dilakukan untuk menangani perkara ini dan mengelak masalah mendaftarkan anak di sekolah pada masa depan. Saya sudah arahkan pihak berkaitan termasuk NGO dan cawangan Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk membantu,” katanya.

Berita Harian