(VIDEO) Rakyat Malaysia Berasal Dari Tawau, Sabah Seludup Syabu Ke Indonesia Diberkas

Foto TribunNews

KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia ditahan selepas cuba menyeludup masuk enam kilogram dadah jenis syabu ke Kalimantan Timur, Indonesia, 16 Julai lalu.

Lelaki terbabit ditahan oleh Bahagian Narkotik Kalimantan Timur, hasil maklumat perisikan yang diterima tentang cubaan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dari Tawau ke Kalimantan.

Foto TribunNews

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya sudah dihubungi Polis Republik Indonesia (POLRI) berhubung penahanan berkenaan.

“Setakat ini, saya masih belum menerima butiran terperinci penahanannya, namun saya dimaklumkan ada seorang rakyat Malaysia berasal dari Tawau, ditahan oleh POLRI.

“Jadi perkara ini berbalik kepada kenyataan saya sebelum ini bahawa keadaan dadah di negara ini amat kritikal dan inilah yang saya maksudkan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras, hari ini.

Beliau berkata, PDRM mengalu-alukan kaji selidik atau tinjauan oleh mana-mana pihak bahawa pasaran dadah dalam negara ini amat serius dan kritikal.

“Justeru saya kekal dengan kenyataan saya bahawa ancaman dadah dalam negara ini amat besar dan harus diperangi secara holistik atau menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan sekiranya suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket penyeludupan dadah di negara ini.

“Setakat ini, kita masih meneliti maklumat yang diperolehi oleh pihak POLRI bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan dadah berkenaan.

“Suspek masih berada di negara berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, media Indonesia melaporkan seorang rakyat Malaysia antara lima individu yang ditahan di Kalimantan Timur kerana menyeludup enam kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu.

Difahamkan, rakyat Malaysia berkenaan dalang yang berperanan menyeludup masuk dadah ke negara berkenaan.

Dadah berkenaan bernilai kira-kira RM264,000 itu bertujuan untuk pasaran di negara berkenaan.

Berita Harian

56