Pembantu Pendaftar JPN Tidak Mengaku Bersalah Palsukan Kad Pengenalan

Pembantu Pendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat kad pengenalan palsu. – NSTP

KOTA KINABALU: Seorang Pembantu Pendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan membuat kad pengenalan palsu.

Tertuduh, Safiah Alijang, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Safiah dituduh melakukan kesalahan itu pada 22 Mei 2013, jam 3.05 petang di JPN Cawangan Pitas.

Tertuduh didapati dengan curangnya membuat suatu surat palsu iaitu kad pengenalan bernombor 991207-12-5135 atas nama Muhamad Daniel Hafiez Arif @ Jali yang mana dokumen itu dikeluarkan bukan kepada pemilik sebenar.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 463 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 6 September depan untuk pengurusan kes dan memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan RM6,000.

Tertuduh juga diarahkan supaya melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basirudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian