Kalau Tidak Hilang, Duit Hasil GST Itu Ada Di Mana – PM

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu mengetahui di mana wang berjumlah RM19.4 bilion daripada hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya betul dana itu tidak hilang seperti dapatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sekiranya kerajaan berjaya menemukan semula wang itu bermakna dapatan PAC adalah benar.

“Kalau dia (PAC) kata duit tidak hilang, kita hendak tengok duit ada di mana.

“Kalau kita dapat jumpa balik duit itu dia tak hilanglah, kalau kita tak jumpa, dia (duit) hilanglah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini hari ini.

PAC hari ini mengesan berlaku perlanggaran prosedur pemindahan wang berjumlah RM19.4 bilion daripada hasil kutipan GST apabila ia tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti ditetapkan.

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata bagaimanapun dana itu tidak hilang, tetapi dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Beliau berkata berdasarkan keterangan 10 saksi prosiding berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST mendapati hasil cukai itu tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

PAC membentangkan Laporan PAC Parlimen berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik GST berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan.

Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat dilaporkan menyatakan tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

Noraini berkata, Seksyen 54(2) Akta GST 2014 dan Surat Ikatan Amanah Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST menetapkan semua kutipan GST perlu diakaunkan terlebih dahulu dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST.

Katanya, PAC mendapati kerajaan terdahulu memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu sebelum dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *