Pemimpin PPBM Sabah Nafi 20,000 Ahli Akan Sertai Warisan

Sahran Untai (kanan) berkata, ahli perlu menghormati keputusan pucuk pimpinan, termasuk menerima penyertaan ahli Umno dalam PPBM.

KOTA KINABALU: Ketua penyelaras PPBM Pulai, Sahran Untai menafikan beliau sebahagian daripada 260 pemimpin parti mendakwa diri mereka ialah perintis parti di Sabah yang meninggalkan PPBM untuk menyertai Warisan bulan lalu.

Beliau menyifatkan kenyataan Thomas Mojuga yang mendakwa dirinya perintis PPBM di Sabah walaupun keahliannya di Pulai, Johor, mengelirukan dan palsu.

“Beliau mendakwa ramai akan meninggalkan parti kerana mereka tidak gembira dengan keputusan parti melantik Adun Sulaman, Hajiji Noor sebagai ketua perhubungan negeri.

“Beliau turut mendakwa seramai 20,000 ahli akan mengikutnya keluar parti untuk menyertai Warisan.

“Itu adalah dongeng kerana dalam kumpulan kami, hanya ada 7,000 orang dan bukan semuanya berdaftar.

“Hari ini, sekurang-kurangnya 5,500 ahli ini komited untuk kekal bersama parti. Status 1,500 lagi tidak diketahui. Mereka mungkin kekal, mungkin tidak,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPBM Sabah di sini, hari ini.

Sahran percaya Mojuga membuat keputusan meninggalkan parti bersama pengikutnya disebabkan kecewa selepas mereka melobi untuk “perkara tertentu” daripada pucuk pimpinan parti.

Beliau percaya keputusan mereka berdasarkan kepentingan peribadi, bukan kerana mereka tidak suka pemimpin di PPBM Sabah.

Bulan lalu, Mojuga mendakwa dirinya sebahagian daripada tulang belakang parti di Sabah dan keputusannya keluar parti disokong 260 pemimpin parti, termasuk ketua bahagian, pemimpin Pemuda serta Wanita yang tidak puas hati dengan pelantikan Hajiji.

Beliau mendakwa tidak adil parti mengetepikan pemimpin seperti Sahran yang bekerja keras untuk parti, tetapi tidak diberikan sebarang jawatan.

Mojuga turut mendakwa 20,000 ahli akan keluar parti untuk menyertai Warisan.

Sahran berkata, sebagai ahli parti dan mendakwa dirinya perintis PPBM di Sabah, Mojuga patut menerima dan menghormati keputusan pucuk pimpinan parti, termasuk menerima bekas pemimpin Umno dalam PPBM.

Katanya, beliau sudah mengadakan mesyuarat dengan pemimpin parti, termasuk Hajiji sebelum mengadakan sidang media hari ini kerana tidak mahu bertindak menentang kehendak parti.

“Itu sebabnya kami mengambil masa sebulan untuk menafikan dakwaan Mojuga. Kami menyokong penuh pelantikan Hajiji.

“Mojuga tidak patut mengkritik pemimpin parti secara terbuka dan kemudian mengumumkan keputusannya menyerta parti lain seperti Warisan.

“Persoalannya siapa yang dilantik mengetuai PPBM di Sabah tidak patut timbul sama sekali.”

FMT