Hubungan BERSATU Dan WARISAN: “Kalau Dingin Kita Hangatkan” – Hajiji

Hajiji (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Masidi Manjun (kiri) dan Setiausaha Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee (kanan) dalam sidang media selepas Mesyuarst Khas BPN Bersatu Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yakin dapat menghangatkan jalinan kerjasama parti itu dan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Mengulas mengenai keadaan kedua-dua parti itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata usaha untuk merapatkan itu perlu memandangkan mereka berada dalam kerajaan pemerintah hari ini.

“Kalau dingin kita akan hangatkan dan kita akan usahakan untuk merapatkan hubungan kerana kita sama-sama dalam PH dan Warisan pula adalah rakan kepada PH.

“Kita cuba menghangatkan suasana .. jangan jadi dingin,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungan Bersatu Sabah dan Warisan yang dikatakan masih dingin meskipun berada dalam kerajaan hari ini.

Terdahulu beliau bersama barisan pimpinan baharu Bersatu mengadakan Mesyuarat Khas BPN Bersatu Sabah di Kota Kinabalu dan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Bersatu merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Dalam sidang media yang sama Hajiji turut mengumumkan senarai baharu BPN Sabah yang lengkap termasuk pengerusi zon, exco dan biro.

Beliau yakin Bersatu Sabah sudah lengkap dan kini tiba masa untuk menunaikan tanggungjawab menyusun bahagian-bahagian di Sabah serta menggembangkan keahlian di negeri itu.

Jelas beliau lagi sekarang adalah masa yang sesuai bagi ketua-ketua bahagian Bersatu menambah keahlian kepada yang berminat menyertai ahli parti itu.

Katanya mesyuarat khas itu juga memutuskan bahawa Bersatu Sabah akan memohon kepada Ros bagi menubuhkan sebanyak 501 cawangan dan permohonan itu akan dibuat dalam tempoh seminggu melalui Ibu pejabat Bersatu.

Mengenai sama ada bekas Presiden Harapan Datuk Lajim Ukin akan diberikan portfolio dalam Bersatu, Hajiji memberitahu apa juga keputusan akan diumumkan secara berperingkat.

Dalam perkembangan lain, Hajiji memberitahu satu mesyuarst khas Bersatu akan diadakan pada 20 Julai ini bertujuan meminda perlembagaan parti.

“Apa isi pindaan (dalam mesyuarst itu) saya belum tahu tetapi kita akan ikut aturan dan keputusan pucuk pimpinan,” katanya.

SabahNewsToday