Pemandu Grab Dilarang Cari Dan Tunggu Penumpang Di Semua Lapangan Terbang Sabah & Labuan

LABUAN: Mulai semalam, pemandu kenderaan e-hailing atau Grab tidak dibenarkan untuk menunggu penumpang atau berpangkalan di kawasan lapangan terbang di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, menurut arahan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP).

Selain itu, perkhidmatan e-hailing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hanya terhad kepada Terminal 2 iaitu kawasan menunggu secara percuma, Pintu 5 Ketibaan Domestik untuk mengambil penumpang dan Balai Pelepasan untuk menurunkan penumpang.

LPKP juga menyebut setiap pemandu yang berdaftar perlu mempamerkan pelekat kenderaan e-hailing berdasarkan spesifikasi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Surat pekeliling bertarikh 8 Julai 2019 mengenai arahan itu diedarkan kepada pihak berkepentingan termasuk Persatuan Pemilik-Pemilik Teksi Labuan.

Salinan surat tersebut diperolehi Bernama di sini hari ini.

LPKP berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemandu e-hailing sekiranya masih lagi menunggu atau berpangkalan dalam kawasan lapangan terbang di Sabah dan Labuan kerana ia melanggar syarat khas lesen yang dinyatakan dalam Permit Kenderaan E-hailling (eVP).

Sementara itu, Pengurus Lapangan Terbang Labuan, Amat Madin berkata, pihaknya masih belum berbincang dengan JPJ dan LPKP Sabah mengenai kawasan khusus untuk pemandu e-hailing mengambil atau menurunkan penumpang di kawasan lapangan terbang itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan memberikan kerjasama dalam menyediakan kawasan yang ditetapkan untuk perkhidmatan e-hailing.

BERNAMA